Mukaddimah ‘Melayu di Persimpangan’

MUKADDIMAH

SAYA bukan anti-Melayu. Kalau saya bersikap anti-Melayu, saya tidak akan membuang masa menulis buku ini. Malah saya tidak akan membenarkan sesiapa pun di kalangan kaum kerabat saya menulisnya. Sekiranya usaha penulisan itu telah dibuat sekali pun, saya barangkali tergamak untuk memusnahkan manuskripnya.

Jika buku ini ditulis oleh orang lain, dan saya pula seorang yang anti-Melayu, saya akan pastikan tangan saya tidak menyentuhnya. Saya akan haramkan buku ini daripada berada dalam lingkungan kawasan rumah saya. Malah saya barangkali akan membakarnya.

Saya juga bukan ultra-Melayu. Bukan chauvinist yang bergerak dengan perspektif perjuangan yang bersifat parokial. Bukan seorang yang berhajat untuk menjadi jaguh pada bangsanya, tetapi pada masa yang sama menjadi petualang pada negaranya.

Saya mahu terkecuali daripada semua itu.

Buku ini ditulis kerana tiga sebab besar. Pertama, kerana saya Melayu; kedua, kerana saya mahu terus menjadi Melayu dan ketiga, kerana saya tidak mahu bangsa saya ‘melayu’ dalam jerit pekik ‘Hidup Melayu’nya!
Dalam mengusahakan buku ini saya berhadapan dengan halangan yang tidak sedikit.Kebanyakannya halangan yang datang dan dalam diri.

Dilahir dan dibesarkan sebagai Melayu menyebabkan saya memiliki banyak ‘kekurangan’. Saya, macam Melayu lain, diasuh dengan terlalu pelbagai nilai yang tidak begitu memberikan keuntungan jangka pendek. Saya tidak boleh terlalu berterus terang kerana ianya akan dianggap biadap. Apabila bercakap saya perlu beralas dan berkias. Perlu berlembut dan berhemah. Perlu mengikut resmi menarik rambut di dalam tepung.

Di sinilah dilema saya. Apabila terfikir untuk menulis buku ini saya beranggapan bahawa ada Melayu, atau lebih tepat lagi, banyak Melayu yang sedang lena. Saya bermaksud untuk mengejutkan mereka.

Tetapi jika menggoncang tubuh dan menghentak lantai dianggap biadap, bagaimanakah saya hendak melakukannya? Bolehkah mereka dikejutkan hanya dengan bisikan atau elusan?

Akhirnya, di hujung dilema itu, saya memilih jalan yang mungkin melanggar asuhan emak bapa dan datuk nenek kita. Saya cuba berpegang pada kata-kata sesetengah orang, ada kalanya kita perlu berkurang ajar walaupun bukan dengan niat dan hajat hendak menderhaka kepada sesiapa, terutama kepada orang tua kita.

Hasilnya, saya memutuskan untuk menulis buku ini dengan cara yang paling berterus terang. Saya akan menegur apa yang patut saya tegur. Saya akan mengata apa yang patut dikata. Saya tidak akan memekup bangkai dengan nyiru hanya semata-mata kerana mahu mempertahankan budi dan bahasa.

Kalau ada sekerat dua Melayu yang menganggap pendekatan yang dipilih ini agak biadap dan kurang ajar, biarkanlah. Saya tidak akan membuang masa menahan Luncai daripada terjun dengan labu-labunya. Jika mereka mahu mengkhianati bangsa mereka dengan memejamkan mata terhadap segala salah silap yang ada, saya tidak berhak menahan.

Melepasi halangan pertama mendepankan saya dengan halangan lain yang lebih menyulitkan. Secara kiasannya, dilema saya kali ini ialah, apabila mula menulis buku ini bermakna saya juga akan mula menepuk air di dulang. Saya tahu banyak atau sedikit percikan itu akan tempias mengena saya.
Keadaan menjadi lebih payah kerana yang ada di hadapan saya bukan setakat satu atau dua dulang. Jumlahnya terlalu banyak. Yang mana patut saya tepuk? Kesemua sekali atau hanya sebilangan? Kalau kesemua sekali, mampukah saya? Kalau sebilangan, tidakkah pula nanti saya dikatakan melakukan ‘tepukan terpilih’ yang lambat laun akan disamakan orang dengan ‘pendakwaan terpilih’, istilah yang popular di kalangan sesetengah golongan rakyat sekarang?

Semuanya menyulitkan. Saya tersepit antara mahu jujur atau mahu memalsukan kejujuran. Jika mahu jujur ertinya,saya harus menepuk ke semua dulang tanpa mengira siapa pun yang berada di tepinya. Sebaliknya, jika mahu memalsukan kejujuran pula bermakna saya akan memilih dulang-dulang tertentu sahaja dan membiarkan yang lain tidak terusik sehingga berlumut.

Saya teringat ungkapan Pluto dalam The Republic, ‘kejujuran, dalam banyak keadaan, jarang membawa keuntungan berbanding dengan ketidak-jujuran’. Ianya menjadi peringatan yang ‘menakutkan’. Tetapi akhirnya hati Melayu saya berkata, kalaulah saya akan rugi kerana berlaku jujur, maka saya sanggup menanggung kerugian itu seumur hidup.

Saya tidak tahu apa perasaan Munsyi Abdullah apabila dia menulis tentang perkara-perkara kurang baik, khususnya mengenai perangai dan resam orang Melayu. Tetapi saya percaya Dr. Mahathir mengalami peperangan besar dengan perasaannya sewaktu menulis ‘Malay Dilemma’. Dia juga tentu tersepit antara mahu berkata benar dan kemudian melukakan bangsanya, atau mahu memilih yang baik-baik dan kemudian melenakan mereka.

Mahathir memilih yang pertama. Dia memilih untuk menjadi tidak popular demi kerana mahu mempopularkan bangsanya.

Saya tidak mahu menjadi Mahathir. Saya tidak mahu terperangkap dalam keinginan mahu menjadi orang lain yang telah cukup banyak menjebak orang Melayu. Saya percaya bahawa sesuatu aliran, isme atau dogma bukan untuk ditiru, tetapi untuk diperjuangkan. Dalam kebanyakan keadaan, budaya bapa borek anak rintik harus dihentikan daripada menjadi amalan orang Melayu. Ianya telah menyebabkan terlalu banyak Melayu yang mengulangi kesilapan bapa mereka, sebagaimana si bapa mengulangi kesilapan bapanya.

‘Dilema Melayu’ sekarang ini telah menjadi sejarah. Bukan sejarah yang mati, tetapi sebaliknya yang terus hidup bersama urat nadi Melayu. Tidak siapa pun dapat menyangkal bahawa ia menjadi karya besar yang membuka ruang pada berlakunya anjakan demi anjakan pradigma orang Melayu.

Tetapi ‘Dilema Melayu’ bukanlah suatu mukjizat. Ia tidak akan terpelihara sepanjang zaman. Mahathir menulisnya lebih 30 tahun lalu. Sepanjang tempoh 30 tahun itu telah terlalu banyak perkara berlaku. Orang Melayu telah melalui perubahan yang tidak sedikit. Kalau 30 tahun lalu Melayu menjadi bangsa yang terpencil di bumi sendiri, kini Melayu tegak sebagai nama besar hatta di persada antarabangsa. Kalau 30 tahun lalu Melayu merupakan bangsa yang dianggap sakit, kini Melayu lebih tepat dilabelkan sebagai bangsa sihat yang suka mencari penyakit.

Menyedari bahawa tempoh tiga dekad sejak terhasilnya ‘Dilema Melayu’ hingga sekarang itu bukan satu jangka waktu yang pendek, saya merasakan banyak ruang yang pernah disentuh oleh buku tersebut perlu dijenguk semula. Pada masa yang sama ada banyak elemen-elemen baru yang dahulunya mungkin tidak pernah dijangka oleh Mahathir, kini berlaku dan menyentuh soal survival Melayu.

30 tahun dahulu masalah Melayu lebih banyak berkisar pada soal hak, khususnya di segi ekonomi. Kini selepas 30 tahun masalah itu sudah tidak menjadi agenda besar bagi orang Melayu – sekurang-kurangnya itulah anggapan mereka sekarang. Yang menanti orang Melayu adalah cabaran lain yang lebih besar. Cabaran terhadap jati diri. Cabaran terhadap hala tuju. Cabaran yang lebih bersifat globalisasi.

Kalau 30 tahun dahulu ‘Dilema Melayu’ muncul dengan gagasan-gagasan untuk mengajar Melayu bagaimana hendak melangkah, kini agendanya ialah ke mana hendak melangkah.

Soal hala tuju inilah yang menjadi intipati kandungan ‘Melayu Di Persimpangan’.

Kalau Mahathir mendapat ilham untuk menghasilkan ‘Dilema Melayu’nya dalam satu seminar di Kuala Lumpur pada tahun 1966, ekoran percanggahan pendapatnya dengan Profesor Diraja Ungku Aziz, saya pula terfikir tentang haluan bangsa saya ini selepas sekian lama mengikuti dari dekat setiap peristiwa besar yang berlaku dalam lingkungan sosiopolitik orang Melayu. Kemuncaknya tiba apabila timbul peristiwa sekumpulan orang-orang Cina yang menganggotai sebuah jawatankuasa yang dinamakan Suqui mengemukakan tuntutan 17 perkara kepada kerajaan, termasuk ‘Mengkaji Semula Hak Keistimewaan Orang Melayu’.

Banyak Melayu yang tersentak dengan tuntutan itu. Tetapi saya tidak mahu hanya sekadar tersentak. Saya mahu bangun. Dan dengan buku ini saya mahu mengajak semua Melayu lain supaya turut bangun!

Nik A. Azmi
11.11. 2000

Kuala Lumpur

Comments
One Response to “Mukaddimah ‘Melayu di Persimpangan’”
Trackbacks
Check out what others are saying...
  1. […] boleh terus membaca artikel ini. Jika anda tidak bersetuju boleh baca dahulu mukaddimah buku ini DISINI dan ucapan dasar Presiden ISMA dalam AGM terbaru DISINI. Selamat membaca dengan hati yang lapang. […]



Leave a comment

  • Hubungi Penulis

    'setiap kali menyinari, mereka berjalan dibawah sinar, dan apabila gelap menimpa mereka, mereka berhenti' [ 2 : 20 ]

  • Tanyalah Ustadz

    "Maka, bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (QS an-Nahl: 43)

  • Jumlah Pengunjung

    • 242,522 Pengunjung