Dua hati dalam satu jiwa?

Bismillah

مَّا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِ

“Allah tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati di dalam rongga dadanya…” [33:4]

Percayalah, hakikat ini ditujukan utk menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menuju kepada lebih dari satu hala dan tidak boleh mengikut lebih dari satu sistem hidup. Jika tidak, dia akan menjadi munafiq dan langkah perjalanannya akan menjadi tidak menentu, longlai dan ragu-ragu.

Selama seseorang itu TIDAK mempunyai dua hati, maka pastilah dia bertawajjuh kepada SATU TUHAN yang Esa dan HANYA mengikut satu sistem hidup dengan meninggalkan segala adat, kebiasaan & peraturan-peraturan yang bukan dari Islam. Meyakini selain dari Keluasan Islam, semuanya tertolak.

Manusia cuma mempunyai sebuah hati sahaja. Sebagaimana seorang anak dilahirkan dari seorang bapa bukan dua.

Oleh kerana itu dia pasti mempunyai satu jalan hidup sahaja untuk dijalinkan dalam hidupnya. Pastinya dia mempunyai satu sahaja persepsi hidup global (global wordview) dan alam sebagai sumber pemikirannya.


Dia pasti mempunyai satu neraca sahaja untuk menimbang dan menilai segala rentetan peristiwa, masalah dan dilema. Jika tidak, dia akan berbelah bagi, menjadi talam dua muka, menyeleweng & tidak tetap menjurus ke satu hala, iaitu Jalan Islam.

Seseorang itu tidak boleh mengambil adab-adab dan akhlak dari satu sumber, kemudian mengambil undang-undang dan peraturan dari satu sumber yg lain. Bahkan pula mengambil pula tatacara kemasyarakatan dan ekonomi dari sumber ketiga. Dan lagi, mengambil pula unsur ilmu kesenian dan kefahaman dari sumber yang keempat.

Ketahuilah, campuraduk seperti ini tidak mungkin dapat membentuk seorang in san yang mempunyai hati yang kukuh dan mapan, malah hatinya akan menjadi pecah berkeping-keping, hancur lumat dan berkecai tanpa satu pendirian yg mantap.

Seseorang yang menganut aqidah Islam tidak mungkin memiliki aqidah itu dengan sebenarnya apabila dia melepaskan diri atau memilih sebahagian sahaja nilai-nilai itu didalam mana-mana pendirian hidupnya sama ada kecil atau besar.

Tidak boleh dia mengeluarkan sepatah kata, membuat sesuatu perkara walaupun sekadar menetapkan secebis atau memikirkan sesuatu perkara tanpa berhakimkan kepada akidahnya, jika benar aqidah itu menjadi hakikat yg tertanam di dlm jiwanya. Hal ini kerana Allah hanya mengurniakan sebuah hati sahaja kepada seorang manusia, iaitu sebuah hati yang hanya dapat tunduk kepada satu undang-undang, mengambil fikirannya dari satu kefahaman dan membuat pertimbangan dengan satu neraca fikir sahaja.

Ketahuilah, seseorang yang benar-benar menganut akidah Islam tidak mungkin berkata, “Aku berbuat begini atas sifat peribadiku sahaja” apabila berbuat sesuatu dan kemudian menyatakan, “Aku berbuat begitu atas sifat-sifatku sebagai seorang Islam” apabila membuat sesuatu yang lain sebagaimana ucapan tokoh-tokoh politik, syarikat perniagaan atau tokoh-tokoh persatuan-persatuan sosial, NGO-NGO atau persatuan-persatuan ilmiah dewasa ini. Kata-kata yang keluar dari mulut mereka adalah sekadar kata-kata penyedap bicara.

Padahal, dia sebenarnya seorang manusia yang hanya mempunyai sebuah hati sahaja, mempunyai satu aqidah sahaja, mempunyai satu kefahaman sahaja terhadap hidup ini dan mempunyai satu neraca sahaja untuk menimbangkan nilai-nilai dan sistem-sistem yang ada. Oleh itu, seluruh kefahamannya yang terbit dari aqidahnya itu perlu menjadi neraca dalam semua keadaan.


Dengan cahaya sebuah hati yang dikurniakan Allah inilah seseorang perlu hidup sebagai individu, hidup sebagai anggota dalam keluarga, hidup sebagai anggota dalam masyarakat, hidup sebagai warganegara sesebuah kerajaan, hidup sebagai penghuni di alam ini, hidup secara rahsia dan secara terbuka, hidup sebagai pekerja atau majikan, hidup sebagai rakyat yg diperintah atau sebagai pemerintah yg memerintah, hidup di dalam kesenangan dan kesusahan, di mana pertimbangan dan nilainya tidak mungkin berubah-ubah dengan kefahamannya tetap juga utuh. Ini merupakan perumpamaan terbaik tika mana Allah melarang menziharkan isteri pada ayat selepasnya. Sebagaimana Allah melarang dinamakan anak angkat dengan nama sendiri.

Seorang manusia tidak boleh menjadi munafiq dan beriman pada waktu yang sama. Juga tidak boleh menjadi amanah dan penipu, fasiq dan bertaqwa dalam satu ketika.

Tidak mungkin ada 2 hati yang mana satunya ikhlas manakala satunya ujub. Oleh itu, hanya ada satu karakter sahaja bagi setiap manusia dalam suatu masa, musyrik atau beriman, beramal dengan Islam atau beramal dengan Jahiliyyah. Jika kamu memanggilnya Islam padahal hatinya Jahiliyyah, ia tidak sekali-kali mengubah realiti. Begitu juga sebaliknya.


Terbuktilah, Islamlah satu-satunya sistem, satu-satunya jalan, satu pedoman wahyu dan satu arah aliran iaitu berserah kepada Allah yang Maha Esa sahaja, kerana sebuah hati tidak mungkin menyembah dua TUHAN, tidak boleh berkhidmat pada dua TUAN, tidak boleh mengikut dua JALAN serentak yang menuju kepada dua HALA.

Andainya hati berbuat demikian ia akan terbelah-bahagi lantas berubah menjadi potongan yg berkecai dan hancur dimamah penipuan dunia.

Adaptasi dari:
Tafseer Fi-Zilalil Quran
Tafseer Abu Al- A’la Al-Maududi
Tafseer Ibn Kathir


Comments
One Response to “Dua hati dalam satu jiwa?”
Trackbacks
Check out what others are saying...
  1. […] Tidak mungkin ada 2 hati yang mana satunya ikhlas manakala satunya ujub. Oleh itu, hanya ada satu karakter sahaja bagi setiap manusia dalam suatu masa, musyrik atau beriman, beramal dengan Islam atau beramal dengan Jahiliyyah. Jika kamu memanggilnya Islam padahal hatinya Jahiliyyah, ia tidak sekali-kali mengubah realiti. Begitu juga sebaliknya.~https://ibnutoha.wordpress.com/2009/12/16/376/ […]



Leave a comment