Catatan Hospital November 2008

5 November 2008

Hari dimana tuhan mengingatkanku akan kematian. Hari dimana aku belajar erti kesakitan yang padaku memberi seribu makna. Sungguh, aku tidak pernah dimasukkan ke hospital, apatah lagi wad ‘emergency’. Memang hari itu amat bermakna dalam catatan perjalanan hidupku. Dimana aku lihat sebuah ketulusan dalam persahabatan semenjak hari itu, dari kacamata yang tidak pernah kulihat sebelum ini.

Terima kasih kepada brother Hafeez, sis Hafsah dan lain-lain yang tak dapat aku sebutkan disini. Memang aku segan melihat mereka bersungguh-sungguh untuk membantuku pada hari itu. Puas aku berterima kasih dan bersyukur kerana Tuhan mengurniakan mereka kepadaku.

Pagi itu, aku solat subuh sambil duduk di atas katil hospital. Aku mengambil keputusan demikian kerana aku tidak dapat mencari tempat solat yang sesuai sehingga hampir terbit fajar, sedang aku boleh bergerak walaupun agak terbatas. Ketika solat aku merasakan seolah-olah ada seorang jururawat yang cuba menggerak-gerakkanku. Mungkin dia rasakan aku dalam keadaan tidak sedar atau kesakitan kerana asyik menunduk-nunduk dalam keadaan pelik.

Setelah solat, dia tanyakan keadaanku dengan penuh kelembutan. Aku meminta maaf kerana membuatnya risau dan aku perjelas padanya yang aku sedang solat. Dia mengangguk tanda faham. Katanya inilah pertama kali dia melihat orang Islam solat dalam keadaan duduk. Aku menjawab dengan bersahaja bahawa Islam membenarkan solat dalam keadaan duduk atau berbaring tika sakit. Aku harap jawapanku dapat memberinya idea betapa indahnya Islam.

7 November 2008

Pagi itu, aku membaca Surah Ar-Rahman dengan memandang matahari pagi yang keluar dari peraduannya. Sungguh kata-kata Allah ini amat meresap dalam jiwaku dikala aku menanti detik-detik akhir pembedahan pertamaku. Benarlah nikmat mana lagi yang mahu aku dustakan? Aku melihat sendiri pohonan rendang di depan wad yang telah kuhuni selama 2 hari, aku melihat sendiri dedaunan yang gugur dan pastinya semuanya dibawah pengetahuanNya. Hampir ayat terakhir aku terdengar namaku dipanggil.

“Muhammad, Muhammad!”

Itulah namaku sejak dimasukkan di St James Hospital, hospital yang tiada nama Islam namun sangat islamik.

Aku sangat teruja kerana disini satu-satunya tempat yang memanggil bahagian namaku dengan nama Muhammad, juga nama kekasih Allah, nabi akhir zaman.

Dengan senyuman sister itu menyuruhku bersiap untuk pembedahan. Aku tersenyum dan mahu menutup bacaanku. Mungkin kerana faham aku sedang membaca kitab suci tuhan, dia meninggalkan kelengkapan yang perlu kusarungkan diatas mejaku sambil berlalu pergi seketika. Aku habisi beberapa ayat terakhir dalam surah tersebut, lalu menoleh kepada seorang pakcik berbangsa Irish disebelahku. Dia tersenyum dengan senyuman yang jarang aku lihat pada senyuman kita orang Islam. Adakah kerana kita tidak ikhlas?

Bukan niatku mengkritik saudara-saudaraku sendiri, namun masih terngiang-ngiang kata-kata saudara Idris Tawfiq yang terpesona dengan Islam hanya kerana jawapan salam daripada seorang budak lelaki semasa sedang bercuti di Kaherah. Salam yang diwarnai dengan perasaan dan emosi!

Aku disorong dengan tenang kedalam dewan pembedahan setelah berkali-kali sejarah diri dan perubatanku diambil semasa di bahagian reception jabatan tersebut. Mereka memang mementingkan ‘kesempurnaan’ dan sangat menjaga kebajikan. Ditanganku masih terlekat 2 tag pesakit yang ketika artikel ini ditulis. Pada tag pertama, namaku tidak jelas kelihatan. Namun,mereka sanggup berlari-lari untuk mencetak tag baru yang juga hasilnya tidak berapa baik atas masalah teknikal pada pencetak, dimana tarikh lahirku pula tidak jelas. Oleh kerana benar-benar menjaga kebajikanku mereka meletakkan kedua-dua tag agar tidak akan berlaku kesilapan. Sebagai bakal pengamal perubatan, adakah kita sanggup mencetak semula tag nama pesakit yang sedikit sahaja tidak kelihatan dan ia kelihatan seperti perkara remeh? Atau kita rasakan itu bukanlah tugas seorang jurubedah atau jurubius?

Pembedahan ditangguh kerana mereka tidak berpuas hati dengan result ECG ku.

8 November 2008

Seperti biasa pagi berlalu dengan rutin harianku di hospital. Bacaan pagi, minum pagi dan melakukan beberapa ‘tugas’ rutin melawat jiran-jiran pesakit yang telah bangun dari tidur.

‘…Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, hendaklah ia memuliakan jirannya…’ (Hadith Riwayat Bukhari)

Tugas tersebut hanyalah berjalan-jalan, melemparkan senyuman dan berbual-bual kosong tentang penyakit mereka. Tugas mudah yang remeh bagi kebanyakan orang.

Sinar petang hari mengejutkanku dengan lawatan yang tidak putus-putus. Dimulai dengan kehadiran Hafeez dan Hafiz yang berhujan untuk ke hospital, kemudian muncul pula Izzat Asyraf dan Izzat Syafiq (maaf jika tidak betul ejaan nama) juga dalam keadaan basah kerana berbasikal. Sungguh, aku terharu dengan semangat mereka ke hospital yang agak jauh. Selepas mereka pulang muncul pula Firdaus Sobri yang amat kurindui setelah lama benar tidak berjumpa. Sememangnya aku selalu berbual dengannya perihal makanan di dapur.

Oleh kerana mereka melihat aku masih kelaparan, Hafiz dan Firdaus sanggup kebawah semula untuk membelikan beberapa sikat pisang dan roti. Namun yang paling penting ingin kucatatkan disini adalah Firdaus membelikan sesikat pisang kepada pakcik tua di katil hadapanku setelah kukatakan kepadanya yang pakcik itu tinggal di rumah orang kebajikan dan berdasarkan beberapa perbualan aku rasakan dia telah nyanyuk.

Mari kita sama-sama membina naluri insaniah seperti itu. Adakah kita berasa biasa-biasa sahaja ketika melihat pakcik dan makcik ‘homeless’ di tepi jalan kerana kita telah lali dengan suasana sebegitu? Cuba cari kembali naluri insaniah kita.

Cuba renungkan, kita ‘bergaji’ 935 euro sebulan dengan lebihan duit sebanyak 300 euro sebulan. Adakah kita hanya nampak Paris dan Amsterdam setelah melihat total lebihan duit itu? Lupakah tentang ayat-ayat yang menyuruh membantu fakir, miskin dan anak yatim? Ada jawapan konkrit tentang kepentingan kita membelanjakan duit tersebut ke Amsterdam dan Paris apabila disoal di Hari Perhitungan kelak? Secara individu aku tiada jawapan.

Setelah solat Maghrib, muncul pula seluruh warga 86 White Oak dari Clonskeagh bersama Abang Mawardi. Tidak kusangka mereka membawa banyak buah tangan dan yang paling aku terkejut melihat sebuah sampul merah (bukan angpow) yang berisi kad ucapan dihulurkan kepadaku.

Terima kasih semua atas bantuan, kasih sayang dan persahabatan yang tidak pernah padam.

12 November 2008

Hari ini pembedahanku berjalan seperti yang dirancangkan. Alhamdulillah kerana semuanya telah selamat walaupun pembedahan ditangguh beberapa hari. Sedar dari pembedahan, aku terus berusaha untuk bersiap memakai baju. Kenapa?

Kerana aku tahu bahawa setelah jam 4 akan banyak orang yang akan datang. Aku perlu gagahkan diri walaupun aku tahu kondisiku belum mengizinkan. Setelah usai bersiap, aku terus solat Zuhur dan Asar kerana telah sekian lama masuk waktu Asar.

Dalam solatku, aku seolah-olah tertidur sehingga kurasakan tidak mampu untuk kuteruskan solat. Telah kucuba empat kali namun tidak berjaya. Tiba-tiba, muncul Erni dan rakan-rakan melawatku. Setelah beberapa minit berbual dengan keadaan separa sedar, aku meminta izin untuk solat setelah kuyakin aku mampu bersolat dalam keadaan sedar. Mereka meninggalkan aku dan aku terus bersolat. Hanay tuhan sahaja yang yang tahu betapa aku mencuba untuk fokus. Setelah 3 kali mencuba aku berjaya.

Bagiku, inilah perkara yang terlalu memberi pengajaran yang amat besar. Apabila solat jarang kita benar-benar hargai solat kita. Bahkan kadang-kadang kita hanya merasakannya sebagi kewajipan yang biasa kita buat seperti makan, minum dan sebagainya. Apabila Allah telah tarik nikmat fokus dalam solat, barulah kusedar betapa perlunya menghargai solat kita dengan sepenuhnya. Ia bukan hanya kewajipan tetapi doa dan tali penghubung dengan Allah.

13 November 2008

Jutaan terima kasih kepada Gembo kerana membantuku pagi itu. Terasa macam orang lumpuh pula ketika dia menyisir rambutku seperti rambutnya. Hanya tuhan yang tahu kesedihan dan kegembiraan di hati ini. Terima kasih jua buat rakan-rakan RCSI yang datang!

14 November 2008

Pagi ini amat payah bagiku kerana aku masih lagi mengalami kesakitan ketika berjalan. Mungkin aku mengada-ngada kerana masih belum mampu berjalan pada hari kedua pembedahan.

Sungguhpun ‘laparoscopic surgery’ merupakan pembedahan paling kecil dalam dunia perubatan. Namun, kesakitannya amat berat bagiku. Jika ada orang yang kita sayang atau dekat dengan kita menghadapi pembedahan, biar sekecil manapun pembedahan itu hargailah diri mereka. Banyak mereka yang menyesal kerana tidak mengambil peduli orang yang mereka sayang dengan apa jua alasan, tiada masa, sedang bekerja dll.

Ketahuilah bahawa kita sendiri perlu berada ditempat mereka, barulah kita dapat rasa kesakitan yang mereka rasa. Ingat, biarpun anda sangat lali dengan dunia kesakitan dan kematian kerana tugas anda sebagai pengamal perubatan, namun ia bukanlah tiket untuk anda merasakan kesakitan dan kematian adalah perkara biasa. Allah menciptakan kesakitan dan kematian sebagai tazkirah paling ampuh buat manusia.

Perkara menarik sekitar Ward B, Phase 1H, St. James Hospital

  • Makcik Cleaner yang saban hari tekun membersihkan lantai bernama Aieda. Dia berasal dari Hunggary dan mempunyai anak lelaki yang kacak (dia tunjuk gambar anaknya kepadaku) yang kulupa namanya. Dia selalu bercerita tentang anaknya dengan senyuman penuh harapan dan kegembiraan. Baginya anaknya yang menguasai 4 bahasa (English, Hungary, Italian and German) itu merupakan seorang yang taat pada ibu bapa dan menggembirakannya (sejuk hati sang ibu!).

  • Kapten Nicholas Pat, pakcik yang berusia 86 tahun yang tinggal di hadapanku, semakin baik keadaannya berbanding ketika aku baru mengenalinya. Dia memberikanku semangat untuk bergerak setelah pembedahan. Malu padanya hanya tuhan yang tahu ketika dia berjalan kesana kemari, padahal sebelum ini mengangkat gelasnya sendiri pun tidak larat. Dia memang hebat!

  • Therdie Baybay, seorang jururawat lelaki di wad tersebut berasal dari Filipina dan pernah bekerja di Mesir. Dia banyak menceritakan pengalamannya di Mesir sambil mengajarkanku beberapa perkataan dalam bahasa Arab.

  • Shandy pula merupakan jururawat senior di Anaesthetics Unit. Selepas pembedahan aku sempat berbual dengannya dalam keadaan separa sedar akibat morphine yang diberikan; tentang novel ‘Things Fall Apart’ hasil karya Chinua Achebe seorang penulis Nigeria yang sebangsa dengannya. Dia telah mengkaji novel tersebut ketika sekolah rendah!

Terima kasih jua buat semua jururawat seperti Carlos, Georgiatta dan lain-lain doktor yang bersusah payah merawatku.

Comments
4 Responses to “Catatan Hospital November 2008”
  1. As says:

    salam

    banyak benda in one single entry, great enuf🙂

    laparoscopy = MIS….but still it is a surgery, abdominal area lak..only those who undergone the procedure akan faham the pain and why it is hard to walk back right after that. If batuk pun sangat sakit kat op area.😀

    I really admire the manners among health practitioners been emphasize there esp in eire and uk. I do hope u guys could bring it back to msia.🙂

    Been warded without family around, friends play a very big role. I once experienced the same situation, and they stayed beside me 24 hours, ridiculous! Heh. The value of ukhuwwah (:

    Yang melihat, tidak akan mampu merasa, tidak akan mampu memahami spt mana yang memikul. It is great to have the experience before u become a medical practitioner, becoz usually doctors(msian) will say,

    “tak sakit kan”
    “alah, sakit sikit je”

    even if it is LP, the pain is unbearable. Even the aim is to psycho the patient, but it is not right (for my view as patients).

    Do forgive me for my words here,
    may Allah preserves you.

    p/s: my post-op experience, here

  2. Mz says:

    Salam..
    like this entry.. pengalaman yang sungguh berharga..
    byk pengajaran..thanx^^

  3. daYang says:

    salam wbt..

    subhanallah, proses tarbiyah secara direct daripada-NYA.. pengalaman yg menarik.. +)

  4. arifsayadek says:

    salam

    jzkk share experience..full of thought..

    share lagi pengalaman2 peribadi yg best2..

    moga menjadi pelajaran bg sesiapa yg mahu mengambil iktibar…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: